Tun Sakaran banyak sumbangan kepada negara – PM

Tun Sakaran banyak sumbangan kepada negara – PM

Kota Kinabalu: Perdana Menteri menyifatkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pagi tadi sebagai tokoh pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya di Sabah.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di Facebook beliau, berkata Allahyarham menyumbang dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan sosioekonomi.

“Saya merasa amat dukacita apabila mendengar berita tentang pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai pada jam 6 pagi tadi.

“Allahyarham telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah, merangkumi pelbagai aspek terutama sosioekonomi.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan warga Sabah atas kehilangan tokoh pemimpin yang disegani ini. Semoga tabah menghadapi ujian ini.

“Saya juga mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, diampuni segala dosa, diterima amal soleh dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Jenazah Tun Sakaran selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negeri Sabah, Sembulan, di sini pada jam 11.45 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Toh Puah Siti Rukaiyah Abdullah dan 12 orang anak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|