Kota Kinabalu: Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pagi tadi adalah seorang tokoh politik veteran yang dihormati di Sabah.
Anak jati Semporna yang dilahirkan pada 15 April 1930 itu turut disegani oleh masyarakat negeri ini, khususnya di daerah Semporna.
Allahyarham adalah Ketua Menteri Sabah Kelapan dan pemimpin pertama dilantik melalui sistem penggiliran Ketua Menteri yang diperkenalkan ketika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1994.
Sistem berkenaan mengehadkan perkhidmatan Ketua Menteri selama dua tahun dengan menggilirkan jawatan itu mengikut wakil Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan bukan Bumiputera atau Cina.
Tun Sakaran, 91, bagaimanapun hanya menjadi Ketua Menteri selama kira-kira 10 bulan mulai 17 Mac 1994 hingga 27 Disember 1994 sebelum tempatnya digantikan Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 1995 dan menjalankan tugas sebagai Ketua Negeri sehingga 31 Disember 2002 dan turut menjadi Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selepas itu, Allahyarham terus berkhidmat sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehingga bersara sepenuhnya pada 2018 dan menyerahkan kepemimpinan USIA kepada Datuk Sairin Karno.
Anaknya, Datuk Seri Nasir Sakaran mewarisi kepemimpinannya dalam politik dan pernah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet Sabah, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Nasir pada masa itu menjadi ADUN Senallang sehingga 2018.
Di peringkat persekutuan, Tun Sakaran pernah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dari 1991 hingga 1993.
Ketika itu, Allahyarham adalah Ahli Parlimen Semporna yang disandangnya dari 1986 hingga 1995 sebelum diambil alih anak saudaranya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehingga ke hari ini.
Pada masa itu, Tun Sakaran juga menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan sejak 1985 hingga 1994 dan ADUN Semporna (persempadanan lama) dari 1967 hingga 1985).
Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Parlimen Silam (sekarang Lahad Datu) dari 1978 hingga 1982 mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Tun Sakaran juga adalah antara pemimpin terawal menyertai UMNO apabila parti itu mengembangkan sayap ke Sabah menerusi pembubaran USNO pada 1990.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Gleneagle Kota Kinabalu pada jam 5.30 pagi tadi selepas dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak Rabu lalu disebabkan jangkitan Covid-19.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah dan 12 orang anak.
-Deasoka