Tun Sakaran banyak berjasa kepada Sabah – Hajiji

Tun Sakaran banyak berjasa kepada Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Sabah kehilangan seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negeri ini berikutan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai akibat jangkitan Covid-19 pagi tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham amat signifikan dan besar maknanya kepada negeri Sabah dan negara.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Sakaran, bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau.

“Jasa Tun kepada Sabah amat besar, moga rohnya dicucuri rahmat. Tun Sakaran adalah seorang tokoh yang sangat berjasa khususnya bagi Negeri Sabah. Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Sakaran sama ada dalam politik, pentadbiran dan agama amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga beliau sabar serta tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Katanya, Tun Sakaran adalah pemimpin politik yang berpengaruh di negeri ini dan beliau berharap seluruh keluarga besar Allahyarham sabar menghadapi dugaan itu.

Sehubungan itu, Hajiji mengajak rakyat Sabah untuk bersama mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan mendapat darjat sebaik-baiknya di sisi Allah SWT.

Tun Sakaran dilapor meninggal dunia di Hospital Gleneagle Kota Kinabalu pada jam 5.30 pagi tadi dan selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negeri Sabah pada jam 11.45 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Siti Rokaiyah Abdullah dan 12 anak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|