Lagi syabu bernilai RM1.483 juta dirampas

Lagi syabu bernilai RM1.483 juta dirampas

Tawau: Lanjutan daripada rampasan dadah terbesar sebelum ini, polis sekali lagi berjaya merampas 41.195 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM1.483 juta.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, semua syabu berkenaan ditemui di sebuah syarikat pengangkutan, pada 9 September lalu.

Katanya, lokasi berkenaan dipandu arah oleh suspek berusia 49 tahun yang ditahan sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan di dalam kontena di lokasi berkenaan, polis menemui sejumlah 13 bungkusan plastik berisi dadah.

“Semua dadah disyaki jenis syabu itu dianggarkan seberat 41.195 kilogram yang disimpan di dalam enam kotak yang berlainan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, rampasan terus dilakukan untuk tindakan lanjut namun tiada tangkapan dilakukan semasa pemeriksaan ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah sebelum ini, mendedahkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah.

Katanya, pihaknya berjaya merampas syabu bernilai RM10.9 juta dan menahan seorang lelaki tempatan di kawasan Kampung Batu Payung, di sini, Isnin lalu.

Semua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 303,155.91 gram berkenaan adalah rampasan terbesar pernah dilakukan polis Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|