Kota Kinabalu: Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang membangunkan program untuk menghasilkan biji koko berkualiti tinggi dan berperisa unggul bagi memenuhi permintaan biji koko premium di pasaran ke arah meningkatkan hasil pekebun kecil.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamarudin, berkata LKM juga akan membangunkan sistem pengesanan bagi menyokong pengeluaran biji koko ‘single origin’ atau berperisa unggul yang boleh dipasarkan dengan harga tinggi mencecah RM15 sekilogram.
Katanya, langkah LKM itu sejajar dengan permintaan biji koko premium oleh pengusaha coklat yang semakin meningkat dengan sebanyak lapan pengusaha artisan coklat ‘single origin’ ada di seluruh negara, ketika ini.
“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin pasaran dan permintaan produk koko dapat dipertingkatkan ke lebih banyak negara melalui program berimpak tinggi seperti ini.
“LKM juga sedang melaksanakan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko sebagai pemangkin untuk kemampanan pengeluaran koko tempatan dengan menggunakan konsep ‘Farm to Table’.
“Program ini disasarkan kepada kumpulan pekebun kecil yang secara tradisionalnya terlibat dalam sektor huluan koko. Infrastruktur juga dibangunkan bagi memberi kemudahan untuk memproses biji koko yang dikeluarkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zuraida hari ini mengadakan lawatan kerja pertamanya ke LKM dan melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi
Koko (PPBK) di sini.
Beliau diberikan taklimat mengenai fungsi dan aktiviti LKM serta pencapaian subsektor agrikomoditi koko di Malaysia.
Sementara itu, katanya di Sabah, pusat pengumpulan dan pemprosesan biji koko terkini sedang dibina dan akan siap pada akhir tahun depan di Kampung Napong, Ranau.
“Selain aktiviti pengeluaran dan perdagangan, pekebun kecil koko juga disyorkan untuk menceburi bidang agripelancongan bagi menarik pengunjung yang berminat untuk mengetahui konsep ‘farm to table’.
“Akitviti ini dapat memberikan pendapatan sampingan kepada mereka.
KPPK berharap dengan kepelbagaian dan pertumbuhan subsektor ini dapat memberi ‘rolling-effect’ kepada permintaan koko tempatan,” katanya.
Katanya, sektor agrikomoditi adalah antara penyumbang utama pendapatan eksport negara, termasuk subsektor koko yang menyumbang sebanyak RM6.23 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020.
Beliau berkata, pada tahun lalu juga komoditi koko menyumbang sebanyak RM1.64 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding RM1.56 bilion pada tahun sebelumnya.
-Deasoka