51.1 peratus penduduk dewasa Sabah sudah lengkap vaksin

51.1 peratus penduduk dewasa Sabah sudah lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Separuh daripada penduduk dewasa di Sabah sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dengan pencapaian 51.1 peratus sehingga semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peratusan itu mewakili 1,338,859 individu yang sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 69,393 individu menerima vaksin dos tunggal CanSino.

Bagi individu dos pertama vaksin, katanya sehingga semalam seramai 1,848,444 orang sudah menerima suntikan atau mewakili 67 peratus daripada keseluruhan penduduk dewasa di Sabah.

“Sehingga semalam, Sabah sudah mencatat 51.1 peratus penduduk lengkap vaksin Covid-19, manakala 67 peratus bagi yang sudah menerima satu dos vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jika dibandingkan populasi keseluruhan di Sabah, jumlah individu menerina vaksin lengkap setakat ini mencapai 36 peratus, manakala 47.3 peratus bagi yang sudah menerima satu dos vaksin.

Sabah mensasarkan untuk mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini dan 80 peratus lengkap vaksin menjelang akhir bulan depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|