Covid-19 Sabah: Kes susut sedikit hari ini

Covid-19 Sabah: Kes susut sedikit hari ini

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah turun sedikit hari ini kepada 2,163 kes berbanding 2,246 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata walaupun ada penurunan kes, beberapa daerah merekodkan peningkatan termasuk di Kota Kinabalu.

“Secara keseluruhan angka kes Covid-19 yang dicatatkan hari ini tidak banyak berbeza dengan angka semalam.

“Ia sekadar susut sedikit kepada 2,163 berbanding 2,246 semalam. Walaupun terdapat penurunan kes yang banyak di beberapa daerah tetapi di beberapa daerah yang lain kes naik.

“Kota Kinabalu naik mendadak hari ini daripada 302 semalam kepada 449. Kenaikan kes ini berpunca daripada 134 kes baharu dalam kalangan tahanan di Depo Imigresen Kota Kinabalu.

“Terdapat 153 kes melibatkan orang kena tahan (OKT) di seluruh negeri Sabah hari ini,” katanya dalam kenyataan, petang hari ini.

Beliau berkata, kes di Kota Marudu turut menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 108 kes kepada 155 kes hari ini berbanding 47 semalam.

Katanya, turut merekodkan kenaikan kes ialah daerah Ranau yang naik sebanyak 57 kes kepada 85 kes hari ini berbanding 28 kes, semalam.

“Kalabakan juga menambah 56 kes dan Putatan bertambah 35 kes tetapi Kinabatangan turun 94 kes daripada 112 kepada 18 kes sahaja hari ini. Lahad Datu, Tuaran dan Kota Belud juga turun.*

“Daripada 2,163 kes hari ini, 756 kes (35 peratus) adalah kes yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui, 249 kes (11.5 peratus) lewat daftar antara empat hingga lima hari dan 174 kes adalah kes yang lewat didaftar melebihi lima hari,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kontak rapat menyumbang 57.6 peratus atau 1,246 kes daripada 2,163 hari ini, manakala saringan bergejala 31.2 peratus atau 675 kes, 36 kes melalui saringan kluster, lapan kes saringan bersasar dan 198 lagi melalui saringan lain.

“Sebanyak 83.2 peratus atau 1,799 kes hari ini melibatkan warga negara dan 16.8 peratus atau 364 kes pula adalah warga asing. Sebanyak 181 kes melibatkan kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah termasuk 22 bayi yang berumur kurang daripada satu tahun, manakala 397 kes (18.4 peratus) adalah remaja yang berumur antara enam hingga 17 tahun.

“Sejumlah 607 pesakit (28.1 peratus) hari ini adalah dalam Kategori 1, manakala 1,374 kes (63.5 peratus) dalam Kategori 2, seramai 17 orang dalam Kategori 3, seramai lapan orang dalam Kategori 4 dan dua orang dalam Kategori 5. Sebanyak 155 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|