Jambatan Sungai Damit diharap boleh dibuka November depan

Jambatan Sungai Damit diharap boleh dibuka November depan

Tuaran: Jambatan Sungai Damit yang menghubungkan pekan Tuaran dengan Kampung Sungai Damit, di sini, diharap dapat dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula November depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata selaku wakil rakyat di kawasan itu, beliau mengharapkan kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan secepat mungkin.

Katanya, beliau bersama pegawai berkaitan meninjau kemudahan berkenaan, semalam, untuk melihat sendiri perkembangan pembinaannya.

“Hari ini (semalam), bersama dengan kepemimpinan daerah, kita melawat Jambatan Sungai Damit bersama pegawai yang berkaitan di peringkat negeri dan daerah untuk bertemu dengan pihak pemaju dan konsultan projek,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Jambatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Petrocelli Joseph; Jurutera JKR Daerah Tuaran, Farini Awang; Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Madin Anak.

Ditanya keadaan terkini jambatan berkenaan, Jahid berkata perkara itu diserahkan kepada kementerian yang bertanggungjawab untuk membuat kenyataan mengenainya.

“Bagaimanapun, selaku Wakil Rakyat di kawasan Tamparuli, kita berharap jambatan ini sudah boleh dilalui kenderaan pada hujung November nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.

Jambatan berkenaan dibina dengan kos RM18 juta bermula pada April 2019 dan dijadual siap pada akhir tahun lalu, namun belum dapat digunakan berikutan keadaan lantainya yang dilihat menurun sedikit di bahagian tengah.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk yang antara lain mengatakan jambatan besi berkenaan tidak selamat digunakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|