Kota Kinabalu: Sebanyak 23 rumah musnah terbakar dalam kejadian di penempatan setinggan di Telipok, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1 petang itu, kebakaran berkenaan dipercayai membabitkan seramai 115 keluarga di penempatan berkenaan.
Kejadian turut membabitkan seramai 115 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah terbakar. Gambar insan bomba
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.07 petang.
Katanya, sepasukan 33 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama enam jentera, dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) serta dua unit ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM).
Pasukan bomba memadam api dalam kebakaran di penempatan setinggan, Telipok.
“Semua pasukan bomba yang dikerah ke lokasi kejadian adalah membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, BBP Kota Kinabalu serta BBP Tuaran.
“Pasukan Bomba mengalami kesukaran untuk masuk ke lokasi kebakaran disebabkan oleh jalan sempit dan sesak disebabkan kenderaan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal api daripada terus merebak.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 2.23 petang dan operasi pemadaman masih sedang giat dijalankan.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan namun sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik bomba,” katanya.
-Deasoka