Rusuhan DTI Kota Kinabalu, 21 individu ditahan

Rusuhan DTI Kota Kinabalu, 21 individu ditahan

Kota Kinabalu: Seramai 21 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu yang terbabit dalam melakukan rusuhan awal pagi semalam, ditahan untuk siasatan lanjut.

Semua individu yang ditahan adalah membabitkan 14 lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan rusuhan, beliau mengarahkan semua elemen yg berada di lapangan iaitu MPV, URB, Pasukan Pematuhan balai-balai.

Selain itu katanya, semua Task Force Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Cawangan Khas, Cawangan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.

“Turut dikerah ke lokasi adalah Unit Tempur Ringan (LSF) bersamaa Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dan Unit Drone Pasukan Gerakan Udara

Katanya, ia bagi membantu mengawal Keselamatan bersama petugas Jab Imigresen di Depoh Imigresen berkenaan dalam tempoh masa yang singkat.

“Sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 7.40 pagi, semua penghuni kembali tenang dan memberi kerjasama dengan pihak polis dengan masuk semula dalam sel masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, beliau turut berada di lokasi untuk berbincang sendiri dengan ketua blok E dan F bagi meredakan keadaan.

“Turut hadir bersama ke blok depoh berkenaan untuk melakukan perundingan ialah Timbalan Pengarah Imigresen (Operasi) Sabah, Masri Adul.

“Dalam perbincangan itu, semua tahanan dinasihatkan supaya mematuhi peraturan serta menggunakan saluran yang ada untuk berbincang dan bukannya mengambil tindakan dengan merusuh.

“Tahanan juga diberi amaran supaya tidak merosakkan harta kerajaan atau bangunan pusat tahanan selain tidak cuba melarikan diri kerana pihak polis sudah mengepung pusat tahanan berkenaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, semua tahanan diminta supaya bersabar sementara menunggu proses penghantaran balik ke negara masing-masing selepas pandemik Covid-19 reda.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, sekumpulan penghuni melakukan rusuhan sehingga memecahkan kunci pintu di lokap masing-masing.

Difahamkan, rusuhan itu bagi menunjukkan provokasi selain ketidakpuasan hati kerana belum dihantar pulang ke negara asal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|