Kereta jadi stor simpanan rokok seludup

Kereta jadi stor simpanan rokok seludup

Penampang: Seorang wanita berusia 43 tahun ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti penjualan rokok tidak bercukai dalam Op Kontraban di belakang sebuah kedai runcit di Jalan Cyber Square, di sini, semalam.

Operasi jam 7 pagi oleh Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu itu merampas ratusan kotak rokok yang dianggarkan bernilai RM36,491 yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam.

Katanya, pemantauan dilakukan mendapati sebuah Proton Wira yang diletakkan di belakang sebuah kedai runcit dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok berkenaan.

“Wanita yang dipercayai pekerja kegiatan penjualan rokok terbabit terus ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

“Antara jenama rokok yang dirampas adalah jenama Era, Astro, Canyon, D&J Ice Plus, Tex Light, Asatu dan beberapa lagi jenama lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua rokok berkenaan terus dirampas bersama kereta Proton Wira untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, semua rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM51,491.40 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|