30 PATI ditahan di dua bot nelayan

30 PATI ditahan di dua bot nelayan

Kudat: Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan aktiviti perikanan di perairan daerah ini ditahan, kelmarin.

Dalam operasi membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) jam 11.50 pagi itu, semua PATI terbabit ditahan bersama dua bot nelayan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot nelayan berkenaan mendapati membawa seramai 30 lelaki.

Bagaimanapun katanya, semua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.

“Semua PATI terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.

“Semua mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyril berkata, operasi pemantauan membabitkan bot nelayan asing kawasan perairan daerah ini akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Cyril berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|