Semporna: Aktiviti riadah seorang wanita bersama rakan mendaki bukit Bohey Dulang, di sini, hari ini berakhir tragedi apabila mangsa disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.
Dalam kejadian jam 10.13 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Rozlina Sharina Rosedi, 40, dikatakan mengalami sakit dada dan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri ketika mendaki bukit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian disedari kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) yang terus memberi bantuan kecemasan.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas yang merawat mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Katanya, mangsa adalah seorang pejawat awam yang berasal dari Kuala Lumpur.
-Deasoka