4 daerah keluar zon merah

4 daerah keluar zon merah

Kota Kinabalu: Tiga daerah berjaya keluar dari zon merah Covid-19 hari ini selepas berubah ke zon jingga menjadikan empat daerah kini berada di luar zon merah termasuk satu daerah dalam zon kuning.

Daerah terbabit ialah Semporna, Tongod dan Kunak yang bertukar ke zon jingga, manakala daerah Kalabakan kekal dalam zon kuning selepas beralih ke zon itu daripada jingga sejak 27 Oktober lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Semporna hari ini mencatat lima kes baharu, manakala sifar kes di Tongod, Kunak dan Kalabakan.

“Daerah Semporna, Tongod dan Kunak berubah dari zon merah ke zon jingga menjadikan tiga daerah dalam zon jingga dan satu daerah dalam zon kuning, manakala 23 daerah dalam zon merah,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Daerah Semporna sudah beralih ke zon jingga kelmarin tetapi kembali ke zon merah semalam sebelum bertukar semula ke zon jingga hari ini.

Pertukaran zon Covid-19 bergantung kepada jumlah kes aktif iaitu zon merah bagi daerah yang mencatat 40 kes ke atas, zon jingga bagi yang mencatat 20 kes ke atas dan zon kuning bagi yang mencatat antara satu hingga 20 kes aktif.

Secara keseluruhan Sabah hari ini mencatat 655 kes baharu Covid-19 dengan tiga kematian masing-masing satu kes di Sipitang, Kunak dan Penampang.

Sementara itu, seramai 378 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, manakala 1,869 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|