PBS minta SPR beri penjelasan pendaftaran automatik pengundi 18 tahun

PBS minta SPR beri penjelasan pendaftaran automatik pengundi 18 tahun

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjelaskan langkah yang diambil suruhanjaya itu bagi memastikan pendaftaran automatik individu berumur 18 tahun sebagai pengundi tidak menimbulkan keraguan dalam daftar pemilih.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata penjelasan itu penting selepas mengambil kira bahawa daftar pemilih di Sabah dicemari berikutan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang besar seperti dibuktikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing Sabah sebelum ini.

Katanya, PBS memutuskan bahawa SPR perlu memberi penjelasan itu kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah, memandangkan pendaftaran secara automatik itu dikhuatiri menambahkan lagi daftar pengundi meragukan.

“PBS kekal dengan keputusan sebelum ini bahawa walaupun kita mengalu-alukan pendaftaran individu berumur 18 tahun sebagai pengundi, kita sangat tidak bersetuju ia dibuat secara automatik, mengambil kira daftar pemilih yang tercemar di Sabah seperti dibuktikan laporan RCI mengenai kehadiran PATI yang besar di Sabah.

“Berikutan itu, kita mahu SPR memberi penerangan kepada kita (Ahli Parlimen dan ADUN Sabah) mengenai apa langkah mereka untuk memastikan bahawa hanya penduduk yang benar-benar rakyat Sabah didaftar sebagai pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBS yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Dongongon, Penampang, hari ini yang memutuskan supaya SPR memberi penjelasan mengenai pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata terdapat bukti bahawa daftar pemilih di Sabah tercemar seperti dijelaskan dalam laporan RCI sebelum ini berkaitan kewujudan pengundi ‘hantu’ yang kebanyakannya pemegang kad pengenalan sah tetapi diperolehi melalui kaedah meragukan.

“Adalah penting untuk membersihkan daftar pemilih daripada pengundi ‘hantu’. Walaupun kita mahu seramai mungkin pengundi muda mengambil bahagian sebagai pembuat keputusan tetapi kita tidak mahu jumlahnya bertambah secara tidak sihat,” katanya.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata PBS juga berusaha untuk membuat temujanji dengan SPR bagi membincangkan lebih lanjut berhubung perkara itu dengan SPR Pusat dan negeri, namun belum ada tarikh ditetapkan.

“Kita berharap SPR akan mengadakan sesi penerangan dan memberi kita jaminan bahawa daftar pemilih dibersihkan terlebih dahulu sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|