Kastam rampas dadah dalam polisterin ikan sejuk beku bernilai RM501,025

Kastam rampas dadah dalam polisterin ikan sejuk beku bernilai RM501,025

Kota Kinabalu: Berselindung di dalam bungkusan ikan sejuk beku. Itu taktik terbaru penyeludup dadah yang dikesan cuba mengeksport dadah ke luar negara, 29 September lalu.

Kegiatan berkenaan bagaimanapun berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang merampas lebih 12 kilogram dadah bernilai keseluruhan RM501,025.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, dadah berkenaan berjaya dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 5 petang.

Katanya, pihaknya menerima makluman terdapat satu bungkusan plastik mencurigakan dan disyaki mengandungi bahan terlarang.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 23 bungkusan plastik lutsinar di dalam kotak sejukbeku berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis metaphetamine dan ketamin.

“Dadah metaphetamine yang dirampas adalah seberat 9.221 kilogram dianggarkan bernilai RM331,956 manakala dadah ketamin pula seberat 3.190 kilogram bernilai RM169,070,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Kastam Sabah, hari ini.

Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Katanya, itu adalah kes rampasan kedua membabitkan penyeludupan dadah menerusi lapangan terbang yang berjaya dikesan JKDM.

“Kejadian rampasan pertama dilaporkan sekitar sebulan lalu dan JKDM akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan dadah.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam kegiatan berkenaan yang bukan saja merugika negara tetapi juga mendatang ancaman keselamatan negara.

“Orang ramai diminta membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau tampil ke pejabat Kastam berhampiran.

“JKDM memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|