Kemasukan individu lengkap vaksin ke Sabah dikecualikan kuarantin

Kemasukan individu lengkap vaksin ke Sabah dikecualikan kuarantin

Kota Kinabalu: Kemasukan individu lengkap vaksin dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan atas pelbagai urusan ke Sabah dikecualikan daripada menjalani kuarantin setibanya di negeri ini, bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata setiap individu hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan, menunjukkan bukti lengkap vaksin dan laporan ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif.

Katanya, keputusan ujian saringan perlu disahkan pihak klinik atau makmal bertauliah dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan tempoh sah laku hanya tiga hari selepas pengambilan sampel ujian.

“Bagi mereka yang belum divaksin atau belum lengkap vaksin, selain perlu negatif Covid-19 dalam laporan ujian saringan yang dibuat dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di Sabah, mereka diwajibkan menjalani kuarantin 10 hari di rumah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Bagaimanapun, katanya prosedur operasi standard (SOP) baharu fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah itu hanya untuk kemasukan domestik yang mendapat kebenaran merentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mematuhi syarat kemasukan ditetapkan kerajaan negeri.

Bagi kemasukan antarabangsa, katanya semua individu sama ada warga negara atau warga asing diwajibkan kuarantin selama 14 hari di rumah atau hotel yang ditetapkan walaupun sudah lengkap vaksin.

Selain itu, katanya kemasukan antarabangsa juga perlu mendapat kelulusan My Travel Pass atau My Entry yang ditetapkan Jabatan Imigresen.

“Mereka juga perlu melakukan ujian saringan dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan dan berstatus negatif Covid-19 serta mengisi borang deklarasi kesihatan. Tiada pengecualian kuarantin diberikan kecuali atas penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata bermula esok kerajaan negeri turut membenarkan semula rakyat Sabah lengkap vaksin berulang alik setiap hari ke Wilayah Persekutuan Labuan untuk bekerja melalui pintu masuk di Menumbok.

Katanya, individu yang terbabit hanya perlu mendapatkan Dokumen Pergerakan Keluar Masuk Negeri Sabah yang dikeluarkan JKNS di pintu masuk laut selain diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 secara berkala setiap dua minggu sekali.

Pergerakan orang ramai berulang-alik dari tanah besar Sabah ke Labuan melalui Menumbok termasuk penduduk negeri ini yang bekerja di pulau itu tidak dibenarkan sejak April lalu berikutan peningkatan kes Covid-19 di Labuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|