Sabah timbang sedia dana pemula untuk belia

Sabah timbang sedia dana pemula untuk belia

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sedia menimbang cadangan mewujudkan dana pemula atau ‘start-up’ usahawan untuk belia termasuk wanita muda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan seumpama itu wajar dan akan dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2022.

“Dana itu bukan sahaja untuk start-up perniagaan, malah turut membantu dalam pemulihan perniagaan bagi golongan usahawan atau peniaga muda yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Sabah Maju Jaya (SMJ) Bersama Ahli Parlimen Wanita Muda Sabah secara dalam talian di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Rusnah Kuyung dan Timbalannya, Haslina Ismail serta Perwakilan Parlimen Wanita Muda Sabah, Farrah Ain Madzlan.

Sesi itu diadakan bagi mendapatkan pandangan golongan wanita muda di Sabah berhubung dasar kerajaan khususnya yang berkaitan dengan wanita.

Seramai 16 orang Ahli Parlimen Wanita Muda Sabah mengikuti sesi itu dengan membawa beberapa aspirasi dan pandangan untuk memperkasa kedudukan wanita di negeri ini.

Hajiji berkata beliau sentiasa mengalu-alukan dan menghargai pandangan serta respon daripada orang-orang muda termasuk Ahli Parliamen Wanita Muda.

“Syor daripada Ahli-Ahli Parlimen Wanita Muda hari ini akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan dasar dan program, termasuk dalam penggubalan Belanjawan Negeri 2022,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah akan terus melaksanakan inisiatif bagi mengangkat agenda memperkasa wanita di negeri ini.

Usaha itu, jelasnya bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan peluang wanita akan sentiasa dijaga dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Hajiji turut mengarahkan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) untuk menggerakkan lebih banyak sesi libat urus yang membabitkan pemimpin kerajaan dengan pelbagai segmen dan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|