Ada pihak ambil kesempatan kacau politik Sabah – penganalisis

Ada pihak ambil kesempatan kacau politik Sabah – penganalisis

Kota Kinabalu: Ada pihak dipercayai sengaja mengambil kesempatan terhadap kemelut politik di Melaka sejak beberapa hari lalu untuk mengeruhkan semula suasana politik di Sabah.

Itu antara andaian yang boleh dikaitkan berikutan tercetusnya khabar angin kebelakangan ini yang seolah-olah memberi gambaran apa yang berlaku di Melaka juga berlaku di Sabah.

Berkongsi pendapat mengenai perkara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata ia sebenarnya berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mereka-reka cerita.

Katanya, cerita mengaitkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik diri daripada kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah antara contoh rekaan pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara yang sama juga katanya berlaku terhadap dakwaan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (WARISAN) keluar parti, semuanya adalah cerita spekulasi untuk membuatkan politik Sabah bergolak semula.

“Kemungkinan kemelut politik di Melaka telah mencetuskan rumours (khabar angin) kononnya Sabah juga akan mengalami nasib serupa.

“Dakwaan tidak berasas itu sebenarnya berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mereka-reka cerita untuk mengambil hati penyokong-penyokong mereka.

“Cerita kononnya Datuk Bung (UMNO) menarik diri dari kerjasama GRS menerajui kerajaan Sabah mahupun terdapat 15 ADUN Warisan akan lompat menyertai parti komponen GRS semuanya telah dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa politik Sabah yang mula menunjukkan tanda-tanda berkocak apabila timbul beberapa khabar angin berkaitan keluar parti baru-baru ini.

Ia bermula dengan berita ‘panas’ kononnya ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaakob yang juga Ketua Penerangan WARISAN menyatakan keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan GRS pada akhir minggu lalu.

Berita itu kemudian disusuli pula laporan yang mengatakan seramai 15 ADUN WARISAN bakal meninggalkan parti, namun kedua-dua spekulasi itu dinafikan ADUN yang terbabit.

Semalam pula, Sabah dihebohkan lagi dengan berita yang kononnya dilaporkan media arus perdana mengatakan UMNO Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.

Laporan yang berlatar belakang gambar Bung Moktar ketika berbahas di Dewan Rakyat itu sebenarnya tidak wujud, sebaliknya dipercayai disunting pihak tidak bertanggungjawab berdasarkan laporan kemelut politik di Melaka.

Mengulas lanjut, Kuok Tiung yang juga Pensyarah Kanan Komunikasi UMS, berkata penyebaran khabar angin atau berita palsu kini menjadi cabaran besar yang perlu ditangani ahli politik.

“Sukar dinafikan dalam konteks era masa kini dengan persekitaran yang kaya media dan hampir semua memiliki gajet telekomunikasi, berita palsu menular dengan begitu pantas sekali.

“Adakalanya kita bersimpati dengan pemimpin-pemimpin yang terpaksa tampil (setiap kali) untuk menangkis berita-berita palsu yang umpama tiada penghujungnya,” katanya.

Bercakap mengenai GRS, beliau percaya kerjasama dalam kalangan parti komponen gabungan berkenaan tidak mudah diganggu-gugat meskipun perkembangan politik nasional menyaksikan berlaku pergolakan dalam kerjasama antara parti komponen.

Jelasnya, semua gabungan politik berdepan masalah yang sama terutama dalam soal agihan kerusi apabila pilihan raya semakin hampir, khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Memang benar soal pengagihan kerusi dan pemilihan calon untuk PRU-15 masih nampak kabur tetapi hal ini berlaku di semua jajaran politik (sehinggakan ada yang hanya mampu menyelesaikannya di saat-saat akhir menjelang tarikh akhir penamaan calon).

“Begitupun bila menyentuh kerjasama di peringkat negeri Sabah, semua parti-parti komponen GRS telah komited menjadikan GRS sebagai platform bagi wacana pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sambil terus membawa pembangunan kepada Sabah.

“Rakyat sebenarnya sudah muak dengan semua ‘politicking’. Ahli-ahli politik yang masih sibuk dengan ‘politicking’ daripada memikirkan kesempitan yang dihadapi oleh rakyat akibat daripada pandemik Covid-19 berisiko tinggi dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|