Pengoperasian semula Batalion Ke-26 RAMD perkukuh pertahanan negara

Pengoperasian semula Batalion Ke-26 RAMD perkukuh pertahanan negara

Tawau: Insiden pencerobohan Tanduo, Lahad Datu pada Mac 2013 sentiasa menjadi peringatan kepada agensi pertahanan negara untuk terus memperkasakan operasi ketenteraan.

Ia bagi memastikan kedaulatan negara dan Pantai Timur Sabah khususnya terus dipertahankan dari semasa ke semasa.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, bagi memastikan keberkesanan operasi itu, Batallion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang dibubarkan 1 November 1994, ditubuhkan semula pada 26 Mei 2014 dan ditempatkan di kem Kukusan Tawau.

Katanya tindakan itu bagi memastikan pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi mengelakkan kejadian pencerobohan seperti yang berlaku di Lahad Datu tidak berulang.

“Penubuhan semula Batalion ini adalah sebahagian proses atur gerak dan pertambahan Batallion tentera di pantai timur Sabah rentetan daripada insiden pencerobohan Lahad Datu 2013 lalu.

“Walaupun pasukan ini masih lagi belum berstatus operasi sepenuhnya namun ia tidak menghalang pasukan ini untuk menjalankan tugas sebagai sebuah unit infantri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Pengoperasian Batalion ke-26 RAMD dan pelancaran buku Op Daulat di padang kawad, Kem Kukusan Tawau, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Dalam program berkenaan turut memaparkan penugasan tentera menangani rusuhan, tembakan 81mm Mortar dan lakonan semula kejadian insiden pencerobohan Tanduo Lahad Datu yang turut dimuat masuk ke dalam buku Op Daulat.

Zamrose berkata, sehingga kini pasukan terbabit sudah mencapai kekuatan seramai 19 pegawai dan 477 anggota lain-lain pangkat.

Katanya, pasukan ini akan terus diperkasakan dengan penambahan keanggotaan serta peningkatan aset tempur sebagai sebuah pasukan infantri yang lengkap.

“Selain penugasan atur gerak ketenteraan, pasukan ini kini terlibat dengan pelbagai penugasan bersama agensi keselamatan lain termasuk dalam pemberian suntikan vaksinasi melalui program Jiwa Murni.

“Operasi aman adalah operasi yang dilaksanakan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa awam secara ‘show of present’ melalui rondaan berjalan kaki dan juga menggunakan kenderaan.

“Begitu juga dengan Op Penawar, operasi ini bertujuan membantu PDRM dalam melaksanakan pencegahan penularan wabak Covid-19 melalui kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis daerah Lahad Datu,” katanya.

Menurutnya, pasukan berkenaan turut terbabit dalam beberapa penugasan bagi membantu pihak berkuasa awam menjalankan aktiviti kemasyarakatan melalui aktiviti Jiwa Murni.

Sementara itu, Zamrose menegaskan, matlamat utama pasukan ini ialah untuk melaksanakan Operasi Pasir Selatan secara berkesan khususnya di kawasan pantai timur Sabah iaitu Esszone, agar kedaulatan negara tetap dijaga dari sebarang cubaan pencerobohan.

“Seterusnya Operasi Pasir Selatan,bermula tahun 2017 di mana, pasukan ini dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas dalam operasi berkenaan dengan matlamat operasinya adalah menghindari sebarang bentuk ancaman di perairan pantai timur Sabah.

“Tentera Darat komited untuk memastikan tanah daratan Malaysia ini amnya dan negeri Sabah ini khasnya agar terus dipelihara dengan pengoperasian sebuah Batallion Infantri yang baru serta pembinaan pos imbangan kawalan sempadan yang akan diperkuatkan melalui tugasan operasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|