Bersama menjayakan misi dan visi SAFA

Bersama menjayakan misi dan visi SAFA

Kota Kinabalu: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang baru dilantik, Datuk Dr Jelani Hamdan memulakan tugas dengan bertemu kakitangan di pejabat SAFA di sini, semalam.

Dr Jelani berkata, menerusi perjumpaan itu, ia membolehkannya mengenali lebih dekat semua kakitangan dan mengetahui peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam badan bolasepak itu.

Katanya, selain untuk menjayakan misi dan visi Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beliau turut bertanggunjawab untuk melakukan perubahan dalam SAFA.

“Perubahan ini perlu dilakukan dalam usaha bersama untuk memajukan sukan khususnya bolasepak di negeri ini.

“Kerjasama dan komitmen dalam kalangan kakitangan SAFA amat penting dalam menjayakan perubahan yang hendak dilakukan,” katanya pada majlis suai kenal yang diadakan di pejabat SAFA, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Dr Jelani berkata, melalui sesi suai kenal seperti itu, ia membolehkannya mendapat input, memahami masalah yang mereka hadapi dan mengambil tindakan untuk penambahbaikan dalam persatuan.

Katanya, ia juga akan dapat membantu pihaknya untuk melakukan perancangan supya SAFA dapat berfungsi dengan baik dan menjadi sebuah badan yang boleh berdikari.

Sementara itu, Dr Jelani turut mengucapkan selamat hari jadi kepada seorang pegawai SAFA, Mathius R. Sulaiman yang kebetulan menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-49 pada majlis berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|