Dua pemancing selamat, bot karam

Dua pemancing selamat, bot karam

Labuan: Dua lelaki yang keluar memancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki karam, dalam kejadian di perairan Pantai Batu Manikar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 34 dan 62 tahun berjaya diselamatkan Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima panggilan kecemasan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 malam.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi turut dibantu lima anggota unit Scuba untuk menjalankan operasi pencarian mangsa di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, keluarga mangsa memaklumkan bot karam berkenaan membabitkan dua mangsa yang keluar memancing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan dan kedua-dua mangsa berjaya ditemui sebelum diselamatkan kira-kira jam 10.35 malam.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dirujuk ke Hospital Labuan.

“Operasi kemudiannya ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.49 malam selepas tiada lagi sebarang kemerbahayaan dikesan di lokasi kejadian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|