Pembinaan Markas TLDM: Armada Timur Mohon percepatkan kelulusan tanah di Sandakan

Pembinaan Markas TLDM: Armada Timur Mohon percepatkan kelulusan tanah di Sandakan

Sandakan: Markas pemerintahan Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap kerajaan negeri Sabah dapat memberikan kelulusan segera permohonan tanah untuk pembinaan Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di daerah ini.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, pembinaan berkenaan amat penting dalam meningkatkan kawalan keselamatan di perairan timur Sabah.

Katanya, pembinaan Mawilla 2 itu sudah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan mendapat perakuan sepatutnya.

“Bagaimanapun, projek pembangunan Mawilla 2 ini tidak dapat dimulakan kerana belum mendapat kelulusan pemilikan tanah.

“Projek berkenaan sudah diperakukan untuk dilaksanakan dalam RMK12 namun, apa yang mengekang projek ini diteruskan ialah pemilikan tanah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Operasi Latihan Laut Timur (Ostex East) di sini, hari ini.

Sabri berkata, pihak TLDM dan pihak kementerian pertahanan sudah membuat gesaan kepada kerajaan negeri terutamanya pejabat tanah dan galian untuk mempercepatkan proses supaya projek ini boleh dilaksanakan segera.

Katanya, inisiatif membina markas baharu yang sistematik berkenaan sudah dimulakan sejak tahun lalu.

“Markas ini sangat perlu dibina kerana markas yang ada ketika ini bukanlah lokasi yang sesuai.

“Kita merancang untuk membina markas baharu yang selayaknya untuk Mawilla 2. Permohonan sudah dilakukan kepada kerajaan negeri untuk memiliki sebidang tanah berhadapan Sabah Hotel seluas kira-kira 5.6 ekar.

“Sebagaimana yang kita maklum Mawilla 2 yang ada di bandar Sandakan ketika ini bukanlah bangunan yang sesuai untuk markas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap Kerajaan Sabah dapat membantu memberi kelulusan segera pemilikan tanah demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|