Sandakan: Markas pemerintahan Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah menambah aset di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia bagi meningkatkan kawalan di luar pesisir Sabah dan Sarawak.
Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, langkah itu diambil susulan pencerobohan kapal China yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, keadaan di perairan ZEE Malaysia berkenaan masih dalam keadaan terkawal dan selamat.
“Kapal TLDM memang sentiasa ada di luar sana 24 jam, tujuh hari seminggu 365 hari setahun. Kita ada kapal diletakkan di Beting Petinggi Ali, dan sebuah lagi untuk memantau di Pulau layang-layang dan kawasan berhampiran.
“Dua kapal TLDM sentiasa berada di Laut China Selatan sepanjang masa dan sekarang ini dengan perkembangan terbaru kita menghantar kapal ketiga sebagai tambahan untuk memantau keadaan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Operasi Latihan Laut Timur (Ostex East) di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung pencerobohan berkenaan, Sabri berkata, ia adalah kapal penyelidik dan turut diiringi kapal tentera.
Namun katanya, ia bukanlah membabitkan kapal perang negara asing kerana kerana itu ada kapal penyelidik yang melaksanakan sismek survey ataupun pengukur dalam laut dan diiringi kapal CCG ataupun Coast Guard bersama dengan kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Malah ada juga bot-bot nelayannya yang menjadi pelindung kapal penyelidik berkenaan. Jadi dia bukan kapal perang,” katanya.
Menurutnya, kemasukan kapal di perairan negara kita oleh kapal China atau secara amnya perairan Laut China Selatan sudah menjadi satu kebiasaan.
Namun katanya, kejadian baru-baru ini dilihat sudah melebihi had dibenarkan dan satu laporan sudah dihantar ke Kementerian Pertahanan sebelum bantahan dibuat kepada China.
“Kemasukan kapal-kapal China hanya terhad sehingga di laut china selatan dan kemasukan ini bukanlah perkara baru sebabnya mereka ada MOU ataupun kerjasama dengan negara Brunei.
“Untuk masuk ke perairan negara Brunei, mereka perlu melalui perairan antarabangsa negara kita. Tetapi apa yang di perhatikan kebelakangan ini pergerakan itu melebihi daripada hanya setakat lalu.
“Justeru itu, TLDM sudah membuat laporan ke Kementerian Pertahanan sebelum dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negeri untuk protes,”’katanya.
Terdahulu, dalam laporan sebelum ini, Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra memanggil Duta Besar China selepas menerima makluman Kementerian Pertahanan berhubung aktiviti kapal China di perairan ZEE.
Kapal penyelidik berkenaan dilaporkan berada di perairan ZEE Malaysia di Sabah akhir September lalu.
-Deasoka