Covid-19 Sabah: Kes harian kembali turun

Covid-19 Sabah: Kes harian kembali turun

Kota Kinabalu: Sabah kembali merekodkan penurunan kes Covid-19 kepada 790 kes hari ini selepas meningkat kepada 805 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunan 15 kes itu sejajar dengan kadar penurunan kes di peringkat dearah yang tidak banyak menunjukkan perubahan.

“Angka jangkitan di Sabah adalah tidak statik. Setelah mencatatkan peningkatan semalam, kumulatif kes pada hari ini merekodkan sedikit penurunan iaitu berkurang 15 kes, menjadikan catatan pada hari ini sebanyak 790 kes.

“Sebagaimana jumlah penurunan dengan jumlah yang kecil pada hari ini, bilangan daerah yang mencatatkan penurunan kes adalah 15 daerah, manakala daerah dengan peningkatan kes adalah sebanyak 12 daerah,” katanya.

Beliau berkata daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi melepasi paras tiga angka iaitu 102 kes dengan peningkatan sebanyak 27 kes.

Katanya, daerah lain yang mencatatkan peningkatan kes dengan ketara ialah Kota Marudu yang bertambah 27 kes, diikuti Tuaran (+19 kes), Beluran (+17 kes), Sandakan (+11 kes) dan Papar (+11 kes).

Sementara itu, katanya daerah Ranau mencatat penurunan tertinggi sebanyak 22 kes, diikuti Keningau (-19 kes), Kota Belud (-17 kes), Tambunan (-15 kes), Pitas (-14 kes) dan Beaufort (-13 kes).

“Status dan statistik pendaftaran kes yang diumumkan hari ini menunjukkan 494 kes atau 62.53 peratus didaftar sepanjang 24 jam yang lalu,” katanya.

Masidi berkata 90.38 peratus daripada jumlah kes pada hari ini adalah Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah atau di PKRC.

Tambahnya sebanyak tujuh kes berada dalam Kategori 3, lima kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|