Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membuat persediaan awal menghadapi banjir berikutan ramalan hujan lebat disebabkan peralihan monsun mulai bulan depan hingga Disember yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata persediaan dari segi bekalan barangan kelengkapan menghadapi banjir sedang diagihkan ke daerah berisiko dilanda bencana itu.
“Seperti yang diramal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kita sedang mengalami peralihan monsun, kejadian hujan lebat dan ribut dijangka akan berlaku dalam bulan November dan Disember ini.
“Sebagai langkah awal, penghantaran barang persediaan untuk menghadapi bencana banjir seperti tilam, bantal dan beberapa barang keperluan lain giat dilaksanakan ke daerah-daerah yang sering mengalami banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Depoh Simpanan Barang Bencana selepas merasmikan Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah bersama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di Sembulan, dekat sini, pagi tadi.
Shahelmey turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca sepanjang musim hujan ini.
“Bagi mereka yang tinggal di kawasan cerun dan atas air, sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang tidak menentu bagi mengelak kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai terutama penjawat awam agar sentiasa berintegriti dalam menyampaikan perkhidmatan.
“Dengan memahami erti tafsiran rasuah dan salah guna kuasa, maka nilai kerja budaya berintegriti ini akan dapat kita pupuk dan jadikan amalam harian.
“Sekiranya sikap tidak berintegriti menjadi satu barah yang berleluasa di semua jabatan ataupun kementerian yang ada di negeri ini, bayangkanlah impaknya terhadap negeri dan juga kualiti perkhidmatan yang sepatutnya kita beri kepada rakyat.
“Jadikanlah budaya berintegriti sebagai budaya kerja harian dan bukan sekadar sambutan tahunan,” katanya.
-Deasoka