Kantoi bawa syabu cuba lepasi SJR

Kantoi bawa syabu cuba lepasi SJR

Kota Marudu: Cubaan seorang lelaki melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Langkon, di sini, dengan membawa dadah jenis syabu gagal apabila dia ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, lelaki terbabit pada awalnya cuba memperdayakan pasukan SJR dan anggota MPV dengan menggunakan surat kebenaran rentas daerah.

Bagaimanapun, taktik lelaki terbabit tidak berjaya memperdayakan polis apabila didapati amat mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, suspek berusia 35 tahun yang memandu kereta Proton Saga bergerak dari arah Kota Belud.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat satu beg galas disimpan di tempat duduk hadapan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg berkenaan membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar sederhana besar yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 25.8 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 17 Ogos depan untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Bagi kesalahan Seksyen 39A(1) ADB 1952, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun, dan sebatan tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih dari sembilan sebatan.

“Bagi kesalahan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Zairolnizal turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada anggota MPV dan Petugas SJR yang terlibat di dalam tangkapan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|