Pendekatan bipartisan langkah efisien pulihkan negara: SEEDS

Pendekatan bipartisan langkah efisien pulihkan negara: SEEDS

Kota Kinabalu: Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS) menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk melaksanakan pendekatan bipartisan sebagai langkah efisien memulihkan ekonomi negara.

Menurut kenyataan persatuan berkenaan yang dikeluarkan hari ini, perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam juga memperlihatkan sudah tiba masanya agar ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika ini, diselesaikan melalui perundingan.

“Reformasi institusi merupakan agenda yang telah lama tertangguh di negara kita, cadangan reformasi institusi pendekatan bipartisan kerajaan yang dicadangkan (Perdana Menteri) akan memberi peluang kepada pihak Kerajaan dan pembangkang untuk merangkap dan menyusul semula tadbir urus pentadbiran negara.

“Pendekatan inklusif dan bipartisan dalam kerangka Reformasi institusi merupakan teras utama dan menjadi titik tolak kepada perubahan dalam negara kita,” ulas kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, SEEDS turut mengalu-alukan pengenalan rang undang-undang anti lompat dengan mengambil kira kesan sesetengah anggota legislator yang bertukar parti kepada ketidakstabilan sesebuah kerajaan.

” Terdapat banyak pandangan yang berbeza berkenaan keperluan undang-undang berkaitan anti lompat, namun majoriti bersetuju bahawa perlunya satu mekanisme untuk memastikan tindakan wakil rakyat bertukar parti ditangani secara tuntas,” katanya.

Jelas SEEDS lagi, begitu juga cadangan memperkenalkan tempoh had jawatan Perdana Menteri di mana ia memerlukan penelitian secara mendalam bagi memastikan ia dapat memberi manfaat politik kepada negara.

” Secara dasarnya pengenalan kepada had tempoh jawatan dapat membuka ruang kepada perubahan dalam kepimpinan parti politik Malaysia dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, cadangan untuk menyetarakan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah bertepatan dan bersesuaian dengan amalan demokrasi berparlimen di mana pihak pembangkang diberi peranan lebih signifikan dalam proses semak dan imbang dasar-dasar kerajaan.

Di masa yang sama, SEEDS turut mencadangkan agar reformasi parlimen diperluaskan dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap yang membayangi setiap kementerian.

“Peluang reformasi sebenar ini seharusnya tidak disia-siakan oleh pihak pembangkang, apa yang harus dilakukan sekarang ialah pihak kerajaan untuk bersama membincangkan dengan pihak pembangkang tanpa mengira perbezaan yang wujud dalam blok pembangkang.

“Pendek kata, kedua-dua pihak hendaklah memulakan langkah pertama untuk berbincang mengenai bukan sahaja cadangan yang dikemukakan namun pihak pembangkang boleh menggunakan peluang ini untuk mengemukakan tawaran mereka sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|