Belia sokong Undi 18 dipercepatkan

Belia sokong Undi 18 dipercepatkan

Kota Kinabalu: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan melaksanakan Undi 18.

Timbalan Pengerusinya, Ag Marjohan Ag Amin, berkata selaku wakil anak muda, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sedia mendengar dan melakukan perubahan mengikut suara rakyat.

Katanya, pembabitan lebih ramai anak muda dalam menentukan kepemimpinan negara akan memberi ruang dan peluang kepada anak muda menyampaikan aspirasi dan pandangan mereka.

“Kita menyambut baik pengumuman memgenai komitmen kerajaan melaksanakan Undi 18 dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam ucapan khas semalam, Muhyiddin mencadangkan Undi 18 dilaksanakan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran secara automatik yang mengambil masa lama untuk diluluskan.

Selaras dengan cadangan itu, katanya satu Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berhubung pelaksanaan Undi 18 akan dibentangkan segera, selain satu lagi RUU Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Sementara itu, Ag Marjohan berkata pengumuman Perdana Menteri dalam ucapan khas beliau semalam memperlihatkan kesediaan kerajaan bekerjasama dengan semua pihak.

Jelasnya, keputusan untuk membawa semua parti politik terutamanya pembangkang memperlihatkan kesediaan kerajaan membawa aspirasi semua pihak demi rakyat.

“Ketika perang melawan Covid-19 sedang memuncak ketika ini perlu untuk semua pihak bekerjasama tidak kira siapa dan pihak mana, kerajaan atau pembangkang, semuanya demi rakyat,” katanya.

Tambahnya, gencatan politik dan kerjasama bi-partisan perlu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada pihak kerajaan melaksanakan segala perancangan untuk melandaikan statistik dan menurunkan kes jangkitan Covid-19.

“Kita tahu dan maklum, dalam suasana pandemik dan politik ketika ini, pertukaran kerajaan dan kepemimpinan negara tidak akan menjamin kestabilan serta kejayaan perang melawan Covid-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Katanya, golongan belia sudah bosan dengan permainan politik berlebihan dan menyeru semua pihak untuk bekerjasama membantu rakyat dalam menghadapi kepayahan serta kesukaran akibat penularan pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|