PBS sudah lama cadang Undang-Undang Anti Lompat Parti – Julita

PBS sudah lama cadang Undang-Undang Anti Lompat Parti – Julita

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini menyatakan sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki, berkata ia satu perkembangan yang positif dan sangat dialu-alukan memandangkan PBS sudah lama mencadang dan membawa perkara itu untuk perhatian kerajaan.

Sehubungan itu, katanya cadangan disuarakan Muhyiddin itu adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan diharap mendapat sokongan semua pihak dalam usaha menghentikan insiden lompat parti yang masih berlaku sehingga kini.

“RUU Anti Lompat Parti adalah perkara yang telah lama dibawa dan dicadangkan oleh PBS. Justeru cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri dan tindakan yang akan diambil berhubung perkara ini amat baik dan bertepatan sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Muhyiddin dalam ucapan khas beliau menyebut RUU Anti Lompart Parti adalah antara langkah yang akan diambil jika berjaya membentuk kerjasama bi-partisan dengan parti pembangkang untuk menyokong usul undi percaya di Parlimen nanti.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, beliau juga secara peribadi menyokong cadangan itu dengan keyakinan bahawa ia boleh membawa kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

“RUU ini adalah antara perkara terpenting yang harus disambut baik dan disokong sepenuhnya oleh semua Ahli Parlimen kerana impaknya bersifat kekal kepada kestabilan negara dan melindungi suara serta kehendak rakyat yang mengundi wakil rakyat mereka.

“Namun, saya tidak hairan melihat reaksi parti politik pembangkang dari Sabah yang menolak cadangan RUU Anti Lompat Parti ini kerana mereka tidak dapat menyokong sesuatu yang merugikan mereka atau menghalang mereka untuk berkuasa dengan apa cara sekalipun,” katanya.

PBS juga katanya menyokong penuh cadangan dan langkah ke arah reformasi dalam pentadbiran yang akan dibuat sekiranya mendapat sokongan rentas parti dengan undi dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|