Juragan cuba seludup petrol ditahan

Juragan cuba seludup petrol ditahan

Sandakan: Seorang lelaki ditahan selepas didapati membawa barang kawalan tanpa permit dari pihak berkuasa di kawasan Laut Pamaguan, di sini, kelmarin.

Dalam operasi itu, bot yang dibawa seorang lelaki berusia 34 tahun terbabit ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, suspek terbabit dikesan dalam operasi pemantauan yang dijalankan di sekitar perairan daerah ini.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan operasi mendapati juragan bot berkenaan membawa barang kawalan iaitu beberapa tong berisi petrol.

“Semua petrol berkenaan dianggarkan bernilai RM811.80 yang menjadikan jumlah keseluruhan termasuk bot yang dirampas sebanyak RM14,511.80.

“Hasil pemeriksaan lanjut, jurangan terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, suspek yang ditahan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|