PRK Bugaya: Tunggu situasi bertambah baik

PRK Bugaya: Tunggu situasi bertambah baik

Penampang: Kerajaan negeri akan mencadangkan penamatan darurat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu apabila situasi Covid-19 di Sabah bertambah baik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata buat masa ini perkara itu belum diputuskan dan proklamasi darurat bagi kawasan DUN berkenaan masih berkuat kuasa.

“Belum ada lagi PRK DUN Bugaya kerana darurat belum ditarik balik. Kita akan sampaikan perkara ini apabila keadaan sudah bertambah baik.

“Kita tetap akan mengadakan PRK DUN Bugaya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang ehsan kepada mangsa banjir di daerah ini di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, pagi ini.

Seramai 200 mangsa banjir dri Kampung Sugud, di sini, menerima bantuan wang ehsan RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR).

Beliau ditanya mengenai kemungkinan PRK turut diadakan di Bugaya susulan penamatan darurat di Sarawak berkuatkuasa 3 November yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.

DUN Bugaya kosong berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah pada November tahun lalu.

Pada PRN Sabah September tahun lalu, Manis Muka memenangi kerusi berkenaan atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 6,005 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Selain DUN Bugaya, satu kawasan Parlimen di Sabah iaitu Parlimen Batu Sapi juga kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada Oktober tahun lalu.

PRK untuk kerusi Parlimen berkenaan turut ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat bagi kawasan berkenaan oleh Yang di-Pertuan Agong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|