Kerajaan pastikan semua projek tebatan banjir di Penampang disiapkan – Hajiji

Kerajaan pastikan semua projek tebatan banjir di Penampang disiapkan – Hajiji

Penampang: Kerajaan negeri akan memastikan semua projek tebatan banjir yang dilaksanakan di daerah ini disiapkan seperti dirancang bagi menangani masalah banjir yang menjejaskan penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek terbabit perlu disiapkan kerana ia adalah antara pendekatan yang dikenal pasti dapat mengurangkan bencana banjir yang sering berlaku di daerah ini.

“Perkara ini sedang diusahakan oleh kerajaan kerana kita ingat ini satu cara untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat di Penampang.

“Kerajaan akan berusaha untuk menyiapkan projek yang dirancang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Wang Ehsan Mangsa Banjir Daerah Penampang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Safar Untong.

Difahamkan, ada empat fasa projek tebatan banjir diluluskan di daerah ini sejak 2011, namun belum dilaksanakan sepenuhnya termasuk kerja mendalam dan melebarkan Sungai Moyog.

Sementara itu, terdahulu pada majlis berkenaan Hajiji menyampaikan bantuan wang ehsan RM1,000 kepada kira-kira 200 mangsa banjir dari Kampung Sugud yang terjejas teruk akibat banjir lumpur pada September lalu.

Mereka adalah sebahagian daripada 937 mangsa banjir di daerah ini yang diberikan bantuan wang ehsan bagi meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir itu.

Hajiji berkata, bantuan itu yang dijanjikannya ketika meninjau kesan banjir di Kampung Sugud September lalu menunjukkan komitnen kerajaan terhadap usaha membantu penduduk yang ditimpa musibah seperti bencana banjir.

“Kita simpati kerana pertama kali dalam sejarah penduduk Kampung Sugud mengalami banjir lumpur yang besar. Kerajaan juga membina baharu 10 rumah penduduk yang dihanyut ketika banjir itu,” katanya.

Penduduk Kampung Sugud dikenal pasti paling terjejas akibat banjir yang melanda daerah ini pada pertengahan September lalu ekoran hujan lebat berterusan yang turut menyebabkan beberapa tanah runtuh serta aliran lumpur yang merosakkan banyak harta benda.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|