Kota Kinabalu: Aktiviti riadah lima sekeluarga bertukar cemas apabila mereka dilaporkan nyaris lemas di pantai sebuah pusat peranginan di Karambunai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, semua mereka berusia lingkungan 10 hingga 40 tahun itu dikatakan hampir lemas selepas ditarik arus ombak ke tengah laut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, semua mangsa berjaya diselamatkan orang awam dan pekerja pusat peranginan berkenaan.
“Semua mereka kemudiannya diberikan rawatan awal oleh anggota pasukan EMRS bomba dan kakitangan hospital sehingga berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiga daripada lima mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala dua dalam keadaan stabil.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 10.15 pagi.
-Deasoka