9,000 meter elektrik usang di Sabah dan Labuan perlu ditukar – SESB

9,000 meter elektrik usang di Sabah dan Labuan perlu ditukar – SESB

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan operasi penukaran meter atau jangka elektrik usang membabitkan kira-kira 9,000 premis pengguna di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan secara berperingkat mulai bulan ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, berkata kerja penukaran meter hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit dan menyebabkan sedikit gangguan bekalan di premis pengguna sepanjang tempoh itu.

Katanya, operasi dinamakan Ops Usang itu membabitkan penukaran jangka elektromekaninal Satu Fasa dan Tiga Fasa berusia lebih 15 tahun kepada jangka elektronik.

“Operasi ini akan mula dilaksanakan pada awal November 2021 bermula di kawasan Kota Kinabalu, Papar, Kota Belud, Tuaran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau, Tenom, Keningau, Beaufort dan Labuan.

“Pertukaran ini dibuat bagi memastikan setiap penggunaan tenaga di premis pengguna dapat direkodkan dengan lebih tepat dan jitu di samping memastikan bacaan meter dapat dibuat dengan lebih teratur memandangkan terdapat keadaan meter usang ini yang sudah pudar paparannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kos pemasangan meter baharu bagi menggantikan meter usang di premis pelanggan ditanggung oleh SESB tanpa sebarang caj kepada pelanggan.

Katanya, kerja penggantian meter akan dijalankan pada hari bekerja dan hujung minggu melalui temu janji dengan pelanggan.

“Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan melalui notis bertulis sebelum penggantian meter dilakukan. Kerja penggantian meter akan dilaksanakan kontraktor yang dilantik SESB dan mereka perlu membawa surat pengesahan wakil SESB ketika menjalankan kerja.

“Antara peraturan kerja yang perlu dipatuhi ialah anggota kerja kontraktor tidak dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan jika pintu pagar berkunci dan sebagai pilihan proses temujanji perlulah diatur bagi mengatasi halangan itu.

“SESB memohon kerjasama sepenuhnya daripada semua pelanggan yang terlibat bagi memastikan kerja penukaran meter usang dapat dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan berkaitan perkara itu boleh diajukan kepada SESB melalui talian 15454.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|