Kota Kinabalu: Termakan dengan pujukan dan tipu daya dalang pencarian kerja yang kononnya menawarkan pekerjaan gaji lumayan, sembilan wanita warga Filipina berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua serbuan berasingan di Semporna, kelmarin.
Semua wanita warga Filipina terbabit mendakwa dijanjikan pekerjaan menarik di kawasan timur tengah terutamanya negara Jordan dan Dubai.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, semua wanita terbabit diselamatkan dalam operasi Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Katanya, serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna dan sebuah lagi rumah di atas air di Kampung Terusan Hujung Batu, Pulau Bum-Bum.
“Hasil pemeriksaan lanjut, operasi berjaya menyelamatkan sembilan mangsa wanita berusia 25 hingga 40 tahun.
“Dalam operasi sama, kita turut berjaya menahan dua lelaki serta seorang wanita warganegara Filipina berusia 28 hingga 40 tahun yang disyaki sebagai dalang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Muhamad Sade berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dikenakan bayaran sehingga mencecah RM13,000 bagi setiap perkhidmatan.
Sementara itu, Muhamad Sade berkata, ketiga-tiga anggota sindiket pemerdagangan orang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Papar.
Manakala katanya, mangsa sindiket pula ditempatkan di Pusat Pelindungan Wanita Kota Kinabalu.
“Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari lima belas (15) tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya,” katanya.
Muhamad Sade berkata, semua mangsa dan suspek ditahan akan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid- 19.
Katanya, ia bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sehubungan itu, JIM Sabah menyeru orang ramai supaya melaporkan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia dengan berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan.
Katanya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan migran.
-Deasoka