Kanak-kanak warga asing cetus kluster di Keningau

Kanak-kanak warga asing cetus kluster di Keningau

Kota Kinabalu: Seorang kanak-kanak perempuan warga asing yang berusia empat tahun dikesan sebagai kes indeks mencetuskan kluster terbaru di daerah Keningau, hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah,Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Kayu Patikang-Keningau itu merupakan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu di sebuah kilang pemprosesan kayu balak di daerah Keningau, melibatkan Mukim Patikang dan Lingkudau.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dikesan selepas melalui saringan bergejala di Hospital Keningau dengan keputusan RTK-Ag positif.

“Saringan kontak di lapangan mendapati 16 lagi kes dengan keputusan RTK-Antigen positif pada 10 Julai lalu.

“Pada tarikh sama, dua lagi kes positif RTK-Antigen dilaporkan oleh Pusat Kuarantin Sementara, IPG Keningau melalui saringan seumpama.

“Setakat hari ini, daripada 88 kontak yang disaring, terdapat 19 kes positif termasuk 18 kes baharu,”katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kes positif baharu pada hari ini adalah sebanyak 271 kes dengan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,313 kes setakat ini.

Menurut beliau lagi, daerah yang mendominasi peningkatan kes pada hari ini adalah Beaufort (70) kes dan Kota Kinabalu (61) kes iaitu menyumbang 48.3 peratus daripada jumlah kes di Sabah.

“Tiada kematian direkodkan pada hari ini,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|