IPD Penampang wujud kerjasama rapat dengan institusi masjid

IPD Penampang wujud kerjasama rapat dengan institusi masjid

Penampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mewujudkan kerjasama rapat dengan masjid sekitar daerah Penampang dan Putatan dalam usaha memperkasa kepolisan komuniti (Community Policing) di daerah ini.

Inisiatif berkenaan diadakan menerusi perjumpaan khas bersama pengerusi, Ahli Jawatankuasa (AJK) serta pegawai Perhubungan Masjid (PPM).

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sesi perjumpaan khas itu bertujuan untuk memberikan penerangan terperinci mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sempena Hari Raya Aidiladha.

Sekitar majlis pertemuan khas yang diadakan di IPD Penampang.

Katanya, ia bagi memberi penerangan berhubung pelaksanaan ibadah korban di surau dan masjid di dalam daerah Penampang serta Putatan.

“Perjumpaan ini diadakan sebagai wadah perbincangan merungkaikan segala bentuk permasalahan yang wujud dalam insititusi masjid masing-masing.

“Ia termasuk dalam melaksanakan SOP yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Turut hadir dalam perjumpaan khas ini, Ketua Tadbir Agama Daerah Putatan, Aisah Ohdin dan Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Penampang, Azrie Syazwan Jainal.

Mohd Haris berkata, semua pengerusi dan AJK surau serta masjid perlu terus patuh dan akur kepada SOP yang ditetapkan JHEINS dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, pematuhan SOP yang ketat di masjid dan surau dapat menghindari kewujudan kluster-kluster baru terutamanya ketika musim perayaan.

“Polis Daerah Penampang sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak masjid dan surau di dalam daerah ini menerusi perlantikan PPM.

“PPM adalah elemen Community Policing yang terletak di bawah inisiatif Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti (JPJKK) iaitu terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang berfungsi sebagai ‘ejen’ antara polis dan masyarakat,” katanya.

Mohd Haris berkata, ia akan menjadi saluran untuk mengetengahkan sesuatu isu atau sebarang permasalahan berhubung institusi masjid.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|