Program MOVAK mampu capai sasaran

Program MOVAK mampu capai sasaran

Ranau: Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) mampu mencapai sasaran penerima suntikan vaksin terutamanya di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, ia adalah program outreach hasil kerjasama antara kementeriannya dengan Kementerian Perpaduan Negara dan CITF negeri Sabah.

Katanya, program MOVAK itu dimulakan pada 21 Jun lalu dan ia akan membabitkan tujuh program outreach di seluruh Sabah.

Shahelmey (dua dari kanan) dan Abidin (kanan) bersama penerima vaksin yang hadir dalam program berkenaan di Kampung Bongkud, Ranau, hari ini.

“Kita jangkakan akan ada lebih daripada 20 lagi program MOVAK bakal dilaksanakan di negeri ini. Program ini mensasarkan golongan penduduk di kawasan luar bandar.

“Ia juga akan menumpukan komuniti rukun tetangga (KRT) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya ketika ditemui dalam tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Bongkud, Ranau bersempena program MOVAK, hari ini.

Shahelmey dalam pada itu berkata, setakat ini, program MOVAK di Kampung Bongkud sudah mencapai seramai 480 penerima vaksin sejak dilancarkan setakat ini.

Untuk rekod, MOVAK adalah program inisiatif Kementerian Perpaduan Negara.

Di Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang bernaung di bawah kementerian tersebut, bertanggungjawab melaksanakan MOVAK dengan kerjasama CITF negeri.

Sementara itu, katanya, program outreach di negeri Sabah sudah mencapai kira-kira 30,000 penerima vaksin setakat ini.

“Kita difahamkan bulan ini Sabah akan menerima vaksin sebanyak 1 juta dos dan ia akan sampai secara berperingkat-peringkat tiap minggu dan akan ditambah lagi pada bulan Ogos, September dan Oktober.

“Jadi kita menjangkakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) negeri ini akan mencapai imuniti kelompok menjelang November ataupun sekitar awal Disember tahun ini,” katanya.

Terdahulu, pada hari yang sama, beliau diiringi oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir turut berkesempatan mengadakan lawatan ke PPV Dewan Masyarakat Ranau, Ranau.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|