Perlawanan persahabatan medan terbaik: Kurniawan

Perlawanan persahabatan medan terbaik: Kurniawan

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah Football Club (FC) tiba di Johor Bahru, semalam, untuk meneruskan latihan sebagai persiapan menghadapi baki saingan Liga Super yang akan bersambung, 24 Julai depan menentang PJ City FC.

Sepanjang berada di sini, semua pegawai, barisan kejurulatihan dan pemain-pemain Sabah FC akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Pasukan Sabah FC dijadualkan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan termasuk menentang pasukan JDT II FC.

Perlawanan persahabatan pertama akan berlangsung malam ini dan perlawanan seterusnya pada 19 Julai depan yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin.

Sementara itu, pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto (gambar) menyifatkan perlawanan persahabatan itu amat penting bagi mencari keserasian, kelebihan serta kelemahan yang ada sebelum pertemuan menentang PJ City FC.

Katanya, dua pemain yang baru dibawa masuk semakin serasi dengan pasukan ini dan dijangka mampu memberi impak positif kepada pasukan.

“Yoyo (Risto) dan Nazirul, yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua kini semakin serasi dengan pasukan.

“Mereka sudah mengerti dan memahami taktikal yang menjadi strategi pasukan Sabah FC,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kurniawan berkata, kedua-dua pemain itu akan diuji lagi dalam perlawanan persahabatan nanti dan diharap akan lebih cepat faham dan mudah beradaptasi dengan strategi dirancang.

Katanya, semua 26 pemain yang dibawa ke Johor Bahru akan diberi peluang bermain dalam perlawanan persahabatan supaya mereka dapat merasakan tekanan dalam perlawanan sekaligus memperbaiki kecerdasan perlawanan.

“Ini kerana Sabah FC akan bermain sebanyak sembilan perlawanan dalam tempoh 27 hari dan semua pemain harus bersiap sedia untuk diturunkan dalam baki saingan Liga Super,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|