Dua ditahan bersama selaras senjatapi, 13 peluru penabur

Dua ditahan bersama selaras senjatapi, 13 peluru penabur

Sandakan: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas selaras senjata jenis ‘shotgun’ dan 13 peluru penabur selepas menahan dua lelaki di kawasan ladang sawit, Batu 14, Jalil Alip, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 49 tahun ditahan anggota Tiger Platoon Batalion 15 PGA Sandakan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah pacuan empat roda.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kedua-dua suspek dikesan dalam operasi Op Khazanah yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Lelaki bersama senjata api jenis shotgun yang dirampas.

Katanya, susulan itu Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintenden Abd Halim Ahmad mengarahkan anggota PGA membuat pemeriksaan dan menemui sebuah beg berisi 13 peluru penabur pelbagai jenis.

“Ketika siasatan lanjut sedang dijalankan, seorang lelaki tiba-tiba muncul dengan membawa selaras senjatapi jenis shotgun.

“Lelaki berkenaan terus ditahan dan pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan lesen senjatapi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, kedua-dua suspek terbabit turut mengaku mengenali antara satu sama yang lain.

Katanya, senjata api yang dirampas bertulis Browning Arms Company Morgan, Utah & Montreal P Q, Made in Portugal Bulu FN Herstal.

“Rampasan terus dilakukan dan kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM35,000,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|