Hasil laut, bot bernilai RM500,000 dirampas

Hasil laut, bot bernilai RM500,000 dirampas

Kudat: Sebuah bot nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malasia (Maritim Malaysia) selepas didapati menceroboh dan menjarah hasil laut negara dalam operasi di perairan daerah ini, semalam.

Dalam operasi jam 8 pagi itu, bot peronda Maritim Malaysia zon Kudat berjaya mengesan bot dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menjalankan operasi Op Pluto Timur di perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, berdasarkan struktur fizikal, pasukan operasi mengesyaki bot terbabit adalah bot nelayan asing Vietnam dan terus melakukan pemintasan untuk pemeriksaan.

Katanya, bot terbabit ditahan pada jarak tujuh batu nautika timur laut dari Pulau Tigabu Pitas dan menahan tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam lingkungan 35 hingga 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi kemudiannya merampas 3,000 liter bekalan diesel, hasil gamat serta peralatan menangguk gamat.

“Bot berkenaan kemudiannya diiringi bali ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan dan tindakan selanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Boon berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM500,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, bot terbabit menggunakan sebuah peralatan yang direka khas untuk menjarah gamat yang diperbuat daripada besi.

“Peralatan ini sangat berat dan ia mampu memecahkan batu karang di dasar laut ketika melakukan aktiviti menjarah gamat.

“Peralatan ini tidak dibenarkan untuk digunakan oleh sesiapa saja termasuk nelayan tempatan,” katanya.

Boon berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM6 juta manakala bagi kru atau awak-awak pula sebanyak RM600,000 setiap seorang serta bot yang disita boleh dilucut hak.

Sehubungan itu, Boon berkata, sebarang salah laku jenayah dan kecemasan boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia ditalian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|