Ajal selepas kayuh basikal

Ajal selepas kayuh basikal

Tawau: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di kawasan pondok perhentian bas Jalan Utara Hill Top, di sini, selepas dipercayai beriadah dengan berbasikal, kelmarin.

Mayat lelaki berusia 58 tahun itu dijumpai jam 4.25 petang oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

Katanya, sebaik tiba mangsa lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa terbabit dipercayai keluar mengayuh basikal jam 3.30 petang dan aktiviti itu kerap dilakukan bersendirian dari rumahnya di Kampung Tanjung Batu ke Taman Univilla untuk tujuan beriadah.

“Siasatan juga mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit jantung dan mayatnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Forensik Hospital Tawau untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Peter berkata, bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|