Pembukaan taman awam terima sambutan menggalakkan

Pembukaan taman awam terima sambutan menggalakkan

Kota Kinabalu: Keputusan pihak berkuasa membuka semula kawasan taman awam di sekitar bandar raya bermula hari ini, mendapat sambutan menggalakkan daripada warga bandar raya ini terutama mereka yang mengemari aktiviti riadah.

Tinjauan Deasoka di Pantai Tanjung Aru Satu, mendapati pusat riadah berkenaan sudah mula dibanjiri pengunjung pelbagai peringkat usia seawal jam 6 pagi.

Seorang pengunjung, Siti Nur Ain Kamsani, 34, berkata, dia dan keluarga tiba di pantai Tanjung Aru seawal jam 7 pagi, selepas teringin menikmati suasana pagi di kawasan berkenaan.

Katanya, perasaan awal cukup menggembirakan dan selepas sekian lama terkurung di rumah ekoran pandemik Covid-19.

“Anak-anak pastinya paling gembira apabila dimaklumkan keluarga kami akan berkelah hari ini, malah mereka turut teruja untuk mandi laut kerana sudah lama tidak berbuat demikian.

“Suami pula melakukan aktiviti kayak dengan rakan-rakannya. Oleh itu, saya bersama anak-anak berkelah di sini sementara menunggu suami selesai berkayak,” katanya yang tinggal di Taman Limauan, Kinarut.

Seorang lagi pengunjung, Ikman Asiran, 25, berkata, dia dan rakan teruja untuk santai di pantai berkenaan sambil bersiar-siar.

Katanya, pembukaan semula ini memberikan perasaan yang positif disebabkan orang awam boleh datang melaksanakan pelbagai aktiviti di sini samaada bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

“Kita sebelum ini sudah terlalu lama berada di rumah dan tidak dibenarkan merentas daerah serta negeri.

“Apabila taman-taman awam dibuka semula, sekurang-kurangnya kita tidak perlu berjalan jauh jika mahu berehat serta menenangkan fikiran daripada urusan harian,” katanya.

Bagaimanapun Ikman berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) haruslah sentiasa dipatuhi bagi mengelakkan kes postif Covid-19 di Sabah semakin meningkat.

Sementara itu, Ketua Pasukan Menara Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Kinabalu, Mohd Azlan Shah Minggu berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan SOP dalam memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku di kawasan terbabit.

“Kita juga sudah meletakkan bendera yang bersesuaian dengan situasi semasa agar pengunjung lebih peka sekiranya mahu mandi di pantai ini.

“Pasukan pemantau di menara tinjau ini juga sentiasa bersiap siaga melaksanakan rondaan dan pemantauan turut sentiasa dibuat samaada sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun apabila pembukaan semula diumumkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|