Tawau: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan dalam kejadian di Kampung Jawa Lanut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kanak-kanak berusia 3 tahun terbabit dikatakan tergelincir jatuh ke Sungai Tawau dan sehingga kini gagal ditemui.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kanak-kanak berkenaan masih belum dapat ditemui dan operasi mencari dan menyelamat terus giat dijalankan.
“Setakat jam 5 petang hari ini, operasi masih gagal mengesan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Alif Amuddin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, usaha mencari masih dijalankan dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
-Deasoka