Pemandu e-hailing kena samun

Pemandu e-hailing kena samun

Kota Kinabalu: Seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas selepas disamun dua lelaki dalam kejadian di Lorong Burung Keleto, Kampung Likas, di sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.23 tengah malam itu, mangsa berusia 25 tahun yang diacukan benda tajam dileher terpaksa menyerahkan dompet dan telefon pintar miliknya kepada dua penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu ‘maxim’ mengambil kedua-dua suspek di tepi Jalan Tanjung Lipat, berhampiran SICC, di sini.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, salah seorang suspek mendakwa mahu mengambil wang di dalam rumah manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.

“Secara tiba-tiba, suspek di dalam kenderaan terus meletakkan senjata tajam pada leher mangsa dan mengarahkannya supaya menyerahkan barang berharga kepadanya.

“Berlaku sedikit pergelutan dan suspek terus bertindak agresif sehingga memaksa menyerahkan barangan kepada penjenayah terbabit. Suspek kemudian melarikan diri ke arah kebun pisang berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa yang terselamat tanpa sebarang kecederaan terus meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|