Kota Kinabalu: UMNO Sabah akan menghantar jenteranya bagi membantu calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jentera yang diwakili dari UMNO bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri itu akan berkampung di Melaka sepanjang kempen PRN negeri berkenaan.
“Kita akan menghantar jentera dan ia akan diletakkan di satu kawasan daerah mengundi yang ditentukan kemudian yang merangkumi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan sesi taklimat bersama semua Ketua Bahagian dan Ketua Sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO di bangunan UMNO Sabah, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, jentera parti akan lebih banyak berkempan dari rumah ke rumah dalam kelompok kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Terdahulu, ketika menyampaikan amanat pada majlis berkenaan, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau mahu semua kepimpinan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri fokus kepada usaha memperkukuhkan parti melalui gerak kerja di bahagian masing-masing.
“Kita jangan fikir perkara lain, keutamaan kita adalah memperkukuhkan jentera parti..apabila parti kita kuat dan kukuh kita akan dihormati,” katanya.
Menurut beliau, soal calon dan pemilihan parti perlu diketepikan dahulu kerana yang penting UMNO perlu kukuh dan berada di landasan yang betul untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya selalu tegaskan UMNO mempunyai struktur yang lengkap dari peringkat Bahagian, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta cawangan.
“Apabila struktur ini dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing tiada sebab kenapa UMNO tidak dilihat sebagai sebuah parti lemah dan berpengaruh,” tegasnya.
-Deasoka