Ekonomi setempat kembali aktif

Ekonomi setempat kembali aktif

Kundasang: Kegiatan ekonomi penduduk setempat kembali aktif berikutan kelonggaran diberikan kerajaan menerusi pembukaan lebih banyak aktiviti dan sektor ekonomi dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata langkah yang diambil oleh kerajaan itu juga dapat membantu meningkatkan semula kesejahteraan rakyat.

Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya masyarakat mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar proses pemulihan ekonomi tidak terjejas.

“Pelbagai aktiviti dan sektor ekonomi sudah mula dibuka, ini termasuklah tamu dan pasar malam. Ia tentunya dapat meningkatkan semula ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat di negeri ini.

“Ketika melakukan aktiviti, penting untuk kita mematuhi SOP agar segala rancangan pemulihan dan pembukaan semula ekonomi tidak terganggu lagi dengan jangkitan atau peningkatan kes Covid-19 disebabkan kecuaian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Rukun Tetanga (RT) Care di Tamu KRT Kundasang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN), di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam program yang sama, Shahelmey turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada peniaga Tamu KRT Kundasang yang juga adalah Ahli Kawasan Rukun Tetangga Kundasang.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui JPNIN yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah kepada peniaga yang baru kembali memulakan perniagaan itu akan dapat meringankan sedikit beban mereka.

“Saya berharap sumbangan ini akan dapat membantu meringankan sedikit beban peniaga di sini yang baru kembali memulakan perniagaan selepas beberapa bulan tidak dapat berniaga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|