Gagal seludup petrol di awal pagi

Gagal seludup petrol di awal pagi

Kudat: Taktik penyeludup membuat penghantaran minyak petrol awal pagi gagal apabila kegiatan itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Marak Parak, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 1.40 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit ditahan bersama beberapa tong dram berisi petrol.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, kegiatan itu dikesan ketika operasi Op Landai Khas yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi PPM terus menahan kenderaan pacuan empat roda untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui
beberapa tong dram yang mengandungi petrol bersubsidi.

“Semua minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM67,680 berkenaan dipercayai cuba di seludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cyril berkata, bekalan berkenaan terus dirampas dan diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Cyril berkata, PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, ia bagi memastikan kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|