Ketua mekanik cetus Kluster Blok 03 di Kinabatangan

Ketua mekanik cetus Kluster Blok 03 di Kinabatangan

Kota Kinabalu: Seorang ketua mekanik mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan dalam komuniti di Kinabatangan hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia selepas kes indeks warga tempatan berumur 58 tahun itu dikesan positif Covid-19 kelmarin (21 Oktober).

Katanya, lelaki berkenaan dikesan positif ketika menjalani saringan untuk masuk kerja ke ladang di sebuah klinik swasta di Lahad Datu.

“Dalam saringan itu, kes indeks dikesan positif 100 peratus grading RTK-Ag dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan. Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 19 kes positif Covid-19 dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan.

“Siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang lain yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata ‘trend’ jangkitan Covid-19 di Sabah tidak banyak berubah sejak beberapa hari lalu.

Katanya, hari ini saja menyaksikan sedikit penurunan iaitu sebanyak 49 kes kepada 592 kes berbanding 641 kes semalam.

“Jumlah kes di daerah Kota Kinabalu adalah yang tertinggi di Sabah dan hari ini menambah enam kes baharu. Begitu juga di Beaufort (+17), Kota Marudu (+14), Kinabatangan (+18) dan Tambunan (+16) yang merekodkan pertambahan.

“Sebanyak 202 kes atau 34.1 peratus daripada 592 kes yang direkodkan hari ini adalah kes lewat didaftar dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui.

“Di Kota Kinabalu, 74 daripada 76 kes adalah kes lewat didaftar, masing-masing 25 kes di Papar dan Tenom serta masing-masing 14 kes di Kota Belud dan Lahad Datu,” katanya.

Katanya, Sabah tidak merekodkan pesakit baharu Covid-19 dalam Kategori 5 hari ini, manakala empat orang dalam Kategori 4 dan tiga orang dalam Kategori 3.

Beliau berkata, pesakit dalam Kategori 2 adalah yang paling ramai iaitu 468 orang atau 79.1 peratus daripada jumlah kes hari ini, manakala seramai 102 orang atau 17.2 peratus dalam Kategori 1.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|